Isnin, 12 April 2010

Dunia ini hanya pinjaman

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua sahabat bloggerku,

Sudah seminggu lebih ulang tahun kelahiranku yang ke 39 berlalu. Aku bersyukur sangat-sangat kepada Allah Yang Maha Esa, kerana masih memberi peluang untukku bernafas, memandang, mendengar, menghidu, merasa, bergerak dan banyak lagi keistimewaan yang telah Allah berikan. Syukur alhamdulillah...


Disaat aku sihat ini, aku tidak pernah lupa bahawa aku dulu pernah merasa sakit... sakit yang kusangkakan aku tidak akan berpeluang melihat anakku meningkat remaja. Setahun bersama rawatan doktor pakar, bukanlah satu kenangan indah untuk diingat, namun kebosanan memakan pelbagai ubat yang tidak membawa kesan terhadap sakit yang kurang pasti puncanya, menyebabkan aku terus berhenti dari mendapat rawatan doktor pakar yang hanya kelihatan bagai sedang membuat bahan kajian lagaknya.

Namanya manusia, kesakitanku waktu itu membawa aku berubat secara kampung. Keluarga turut membantu mencari orang pandai untuk mengubat sakitku. Sakit yang bermula tiga hari selepas perkahwinan dan berlarutan... baik sakit baik sakit sehingga lahir anak ke tiga... pelbagai kesakitan turut ku rasa.

Biasalah kata orang pandai... cerita yang sama... kononnya terkena orang. Aku cukup sakit hati ketika itu. Kenapa orang buat aku macam tu sedangkan aku tak ganggu orang pun. Tapi aku sedar, apa yang tidak baik itu semua dari kita sendiri dan aku patutnya redha dengan apa yang berlaku keatas diriku.


Semoga sisa hidup yang ada ini, aku dapat terus berbakti kepada suami tercinta yang banyak berkorban dengan penuh kesabaran, memberi semangat dan bersusah payah kerana aku, juga anak-anak perempuanku yang kusayang serta keluarga yang turut membantu...
Terima kasih semuanya...

Ya Allah,
disaat kau mematikan langkahku,
aku terpaku kebingungan,
disaat kau mematikan rasaku,
aku tak kenal enaknya makanan,
disaat kau mematikan pandanganku,
aku teraba-raba disiang hari,
disaat kau gugurkan rambutku,
ku kutip ia penuh hiba,

Ya Allah,
aku bersyukur atas segala kurnia-Mu,
aku bersyukur kerana diberi waktu,
diberi waktu untukku sedar,
bahawa dunia ini hanya pinjaman dari-Mu.

4 ulasan:

Seri Bahasa berkata...

setiap yang datang itu ketentuan dari Allah. kita sebagai hambanya wajib menerima dengan redha di atas ujianNya. mungkin ada hikmah disebaliknya. dan setiap penyakit yang Allah datangkan ada penawarnya. semoga teman sehat selalu disamping keluarga tercinta.

Norgadis Labuan berkata...

@Seri Bahasa. Alhamdulillah aku sihat sekarang, moga kesihatan ini akan terus dipinjamkan oleh-Nya sehingga sampai waktuku dan penuh harapan agar keimanan tetap bersama sehingga akhir nanti. Terima kasih Seri kerana sudi memberi sedikit masa lapangmu untuk diriku. Moga dirimu sentiasa diberkati oleh-Nya.

anak ain berkata...

dunia cuma pinjaman...insaf tatkala membaca entri ini

Norgadis Labuan berkata...

@anak ain, semoga keinsafan sentiasa memeluk jiwa kita... Terima kasih sudi membaca entri kali ini.