Ahad, 29 Mac 2009

Daisy Store & Pour Container Set


Oleh kerana saya telah aktif di kempen 5 dan kempen 6 2009, saya telah menerima hadiah tiga set "Daisy Store & Pour Container Set" percuma dari Avon. Hadiah ini telah disampaikan di Butik Avon Labuan.

Floral Bloom


Saya telah memenangi hadiah "Floral Bloom Set Of 2 Cup & Saucer" untuk cabaran beli dan menang haruman Avon di kempen 21 hingga kempen 24, 2008 yang lalu. Hadiah ini baru saya terima hari ini di butik Avon Labuan.

Sabtu, 28 Mac 2009

Koleksi Pin GC Avon

Saya menjadi ahli Avon semenjak tahun 1993. Walaupun menjadi ahli Avon hanyalah suka-suka, tapi saya masih lagi kekal sebagai ahli Avon sehingga kini yang hampir 16 tahun lamanya. Banyak juga hadiah yang saya terima antaranya ialah pin Avon, Loket emas 916, jam tangan, jam tangan bersadur emas, jam meja, gelang tangan bersadur emas, periuk nasi, pengering rambut,tea set, set pinggan mangkuk, mug, handbag, travel bag, long purse, pen setia Bersama Avon, Calculator, jewellery Avon Fashion, barangan Avon dan sebagainya.

Jumaat, 27 Mac 2009

Pin GC Avon



Ini pin semangat GC Avon yang baru saya terima. Bermotifkan burung helang, ia melambangkan cita-cita seorang GC yang mahu mencapai tahap lebih tinggi pada setiap tahun. Pin ini bersadur emas dan bertatah kilauan permata sapphire untuk UM yang menyinari sifat setia kawan dan perjuangan mulia seorang Golden Circle.

Lady Watch Avon


Saya baru menerima hadiah Lady Watch dari Avon. Untuk layak menerima hadiah ini, saya perlu mengekalkan status Unit manager dan melakukan jualan peningkatan. Walau bagaimanapun saya tidak pernah terfikir yang saya akan mendapatkannya kerana saya menjadi ahli Avon pada awalnya hanyalah untuk mendapat diskaun setiap kali saya membuat pembelian. Apa yang saya dapat ini adalah sangat berharga bagi saya.

Program GC Avon Breakaway

Saya telah memenangi Percutian Motivasi di Afamosa Resort, Melaka di Resort Hotel Terunggul Negara selama 3 hari 2 malam. Untuk mencapai matalamat ini, saya perlu membuat jualan Avon mengikut jualan individu yang diberikan oleh pihak Avon dan saya perlu mencapai matalamat tersebut sebelum atau pada kempen 12, 2008.

Anugerah GC Avon Di Butik Labuan


Anugerah Penghargaan Golden Circle 2008 yang berlangsung di Butik Avon Labuan, cukup meriah. Kebanyakan GC memilih warna hitam untuk pakaian mereka. Warna hitam merupakan warna haruman pertama yang diinspirasikan gadis-gadis Bond khas dari Avon (Bond Girl 007).

Khamis, 26 Mac 2009

Tahukah Anda Petua Imam Syafi'e?

Empat perkara menguatkan badan
1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas

Empat perkara melemahkan badan
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih

Empat perkara merosakan mata
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama

Sabtu, 21 Mac 2009

Cuti Sekolah

Ini Bilik Anak Sulong Saya Athirah(16)



Cuti sekolah ni tak pergi ke mana-mana tapi abang (suami) ambil cuti empat hari. Semua masa cuti dihabiskan untuk buat bilik tidur anak-anak (bilik kecil-kecil saja, janji ada). Maklumlah anak-anak dah membesar, semua nak bilik tidur sendiri. Nasib baik rumah kampung, dapat juga ubah suai rumah untuk buat bilik anak-anak, kalau tinggal di flat, macam mana nak buat?



Ini Bilik Anak Ke-dua Saya Zafirah(14)

















Ini Bilik Anak Ke-tiga Saya Atikah(12)dan anak saya yang bongsu Wathiqah(3). Mereka berdua berkongsi bilik.

Selasa, 17 Mac 2009

Tahukah Anda perbezaan antara marjerin dan mentega?

Kedua-duanya mempunyai jumlah kalori yang sama.

Mentega sedikit tinggi kandungan lemak tepunya sebanyak 8 gram berbanding 5 gram pada marjerin. Dengan memakan marjerin boleh meningkatkan penyakit jantung pada wanita sebanyak 53% berbanding memakan jumlah sama mentega, menurut Kajian Perubatan Harvard yang terbaru. Memakan mentega meningkatkan penyerapan banyak nutrien lain dalam makanan. Mentega mempunyai banyak faedah nutrisi berbanding marjerin kerana ia adalah makanan tambah nilai! Mentega lebih enak berbanding marjerin dan ia boleh menaikkan rasa makanan lain. Mentega sudah pun wujud selama berabad-abad sedangkan marjerin terhasil kurang dari 100 tahun.

Marjerin mempunyai kandungan asid lemak Trans sangat tinggi. Meningkatkan risiko penyakit jantung koronari sebanyak tiga kali ganda. Ia meningkatkan kolesterol total serta LDL kolesterol berbahaya) dan menurunkan HDL (kolesterol bagus). Marjerin menaikkan risiko penyakit barah sebanyak lima kali ganda. Ia mengurangkan jumlah susu badan. Ia juga merendahkan respons perta hanan tubuh serta keberkesanan insulin semula jadi badan. Perlu anda tahu juga marjerin hanya kekurangan SATU MOLEKUL untuk menjadi PLASTIK.

Dipetik dari Rense.com

AL - AMIN

Puisi saya ini tersiar di Labuan FM pada 9 Mac 2009 sempena Mauluddirrasul.

AL AMIN
Norgadis Labuan

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu
yang menciptakan manusia dari segumpal darah
bacalah dengan nama Tuhanmu
yang mengajar manusia dengan perantaraan menulis dan membaca
dan Dialah yahng maha mengetahui.

12 Rabiulawal Tahun Gajah
bersamaan 20 April 570 Masihi
Aminah binti Wahab membawa sejarah
melahirkan cahayamata penutup para nabi dan rasul
pembawa rahmat tidak bertepi
pembawa nikmat ke seluruh alam.

Girangnya ibu bernama Aminah
melahirkan anak dipagi nan dingin
meski suami tiada disisi
lantaran pergi menyahut pangillan ilahi
namun dihati riangnya tidak terperi
menamakan anak Muhammad bin Abdullah
sebagai cahaya penawar hati.

Arab di Mekah telah menjadi saksi
Muhammad anak Abdullah
cucu kepada Abdul Muthalib
Keturunan keempat puluh
susur gaur dari Ismail anak Ibrahim
bahawa kelahirannya sebagai yatim
pembawa iman dan cahaya kebenaran.

Terpancarlah Nur di Negeri Syam
terang benderang disekitar alam
lahirnya Muhammad nabi akhir zaman
lantas terpadam api majusi
tempat ibadat penyembah api
sebuah gereja di Negeri parsi.

Setelah Muhammad berusia enam tahun
ibunya Aminah pula meninggal dunia
kasihan sungguh si yatim piatu
tinggallah ia bersama ibu susunya
bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya.

Alam remajanya penuh sederhana
keesaan Allah jadi pegangan setiap masa
menghindari kejahatan perkara biasa
As Saadiq yang benar
dan Al Amin yang amanah
Adalah amalan sifatnya yang mulia.

1 Rabiulawal 1430

SEPULAU SEKASIH KITA


1 Mac 2009.
Tengah sibuk ni. Kami sebenarnya sedang berusaha membuka sejarah baru PERWILA kerana buat pertama kalinya kami akan menerbitkan antologi puisi kami sendiri. Rekabentuk kulit buku telah dibuat oleh Abang Mat. Manakala tajuk buku “Sepulau Sekasih Kita” adalah idea indah dari Ketua Dua PERWILA, Sahar Misron.










Buat tatapan pembaca, ini adalah salah sebuah puisi Norgadis yang akan dimuatkan dalam antologi puisi yang bakal diterbitkan.

Bengkel Penulisan Asas Dan Penerbitan Buku

14 dan 15 Februari 2009.
Saya telah menghadiri Bengkel Penulisan Asas Dan Penerbitan Buku anjuran PERWILA dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Labuan (MTPL) yang bertempat di Bilik Mesyuarat Majis Pelancongan Labuan, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan. Bengkel yang dihadiri 30 orang peserta itu diadakan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan teknik-teknik penulisan buku, kaedah penerbitan, mengetahui etika penulisan buku, tugas editor dan reka bentuk buku dan memahami akta serta hak cipta. Bengkel dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Hamedi Mohd. Adnan dari Universiti Malaya dan Rusdi Awang dari Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBP).

Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio


24 - 25 Januari 2009.
Saya telah menghadiri Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio di Studio Labuan FM, anjuran Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA). Antara lain tujuan PERWILA menganjurkan bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan teknik, kaedah menulis skrip drama radio dan menggalakan serta mencungkil bakat penulis Labuan dalam bidang tersebut. Para peserta bengkel telah dibimbing oleh Mohamad Salleh (Mat Kongo) yang didatangkan dari Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis Khatam Al-Quran


22 November 2008.
Foto ini dirakamkan sempena Majlis Khatam Al-Quran anak-anak saya, Nurfatihah Athirah (15), Nurzafirah Nadirah (13), Nuratikah Nazurah (11) dan dua sepupu mereka Ameerha dan Asyeekin.

Foto Dan Lagu

Dialog Teluk VI Di Labuan


14 – 16 November 2008.
Setelah lama berehat dalam aktiviti PERWILA, kini saya kembali lagi dan secara tidak langsung telah menjadi AJK Cenderamata dalam pertemuan Dialog Teluk VI, anjuran PERWILA. Dialog yang dihadiri oleh peserta dari Labuan sendiri, Sabah, Sarawak, Brunei DS dan GAPENA itu telah memilih tema “Teluk Pemangkin Persaudaraan Serantau”.

Selasa, 10 Mac 2009

Tahukah Anda Cara Memakai Cincin?


Nabi Muhammad Saw. berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin pakailah di jari manis atau jari kelingking (anak jari). Jangan memakai pada jari tengah dan jari telunjuk Nabi Muhammad saw. melarang kerana memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka di zaman Nabi Lut a.s.

Perhatian : Cara memakai cincin adalah termasuk lelaki ataupun perempuan.