Sabtu, 18 April 2020

COVID-19: ZON KECIL 2 LABUAN DIISYTIHAR ZON HIJAU

LABUAN: Beberapa kampung dan kawasan perumahan di zon kecil 2 Labuan diisytihar sebagai zon hijau atau sifar kes COVID-19 selepas tiga kes aktif berjaya diselesaikan.

Perkampungan di zon kecil itu merangkumi kawasan Kampung Bebuloh, perumahan di Jalan Bukit Timbalai (Taman Mahkota Impian), Kampung Sungai Miri, Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Lada, Kampung Sungai Labu, Kampung Kilan/Pulau Akar, Kampung Layang-Layangan, Kampung Sungai Bedaun, Kampung Sungai Bangat, Kampung Belukot dan Kampung Bukit Kalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan, Dr Fary Akmal Osman, berkata baki zon kecil 1 dan 3 kekal sebagai zon kuning, iaitu masing-masing mempunyai satu dan tiga kes yang aktif.

Zon kecil 1 tertumpu di pusat bandar dan sekitarnya, Kampung Patau-Patau 1 dan 2, Kampung Gersik/Saguking, Kampung Batu Arang, Kampung Sungai Keling, Jalan OKK Abdullah, Jalan Tun Mustapha dan Kampung Rancha-Rancha.

Zon kecil 3 terdiri daripada Kampung Bukit Kuda, Kampung Pantai, Kerupang/Nagalang, Kampung Lajau, Kampung Tanjung Aru, Kampung Batu Manikar, Kampung Ganggarak/ Merinding, Kampung Lubok Temiang dan Kampung Pohon Batu

Dr Fary Akmal berkata, Labuan merekodkan jumlah kumulatif kes sebanyak 16 orang dengan 12 pesakit telah dibenarkan pulang sejak 10 April lalu.

Katanya, jumlah pesakit yang dikuarantin di rumah, hotel dan pusat kuarantin berkurang dengan ketara daripada 2,000 kepada 735 orang.

“Di pusat kuarantin Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan, kami mempunyai 66 orang di sana dengan 57 adalah lelaki dan sembilan wanita, manakala di Pusat Giat Mara terdapat 67 orang iaitu 42 lelaki dan 25 wanita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - BERNAMA

Sumber BH ONLINE

0 ulasan: