Gambar Hiasan
MUAR: Setakat manalah sangat
kudrat seorang kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun, apatah lagi untuk
menjaga adik sepanjang hari ketika ketiadaan ibu bapa di rumah.
Akibat
tertidur sekejap di ruang tamu, adik bongsunya berusia 16 bulan yang
dijaganya ketika ibu bapa keluar bekerja, ditemui tersembam dalam sebuah
akuarium yang diletakkan di lantai dapur.
Bayi yang bertarung
nyawa selama 14 jam selepas ditemui berkeadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam
akuarium di rumahnya di Jalan Ismail di sini, kelmarin, meninggal dunia
ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah
Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.
Dalam
tragedi malang itu, mangsa, Nurul Najwa Atika, yang tidak diawasi
selepas kakak sulungnya tertidur di ruang tamu, dipercayai tertarik
untuk bermain dengan pelbagai ikan peliharaan dalam akuarium yang
diletakkan di atas lantai dapur.
Ketika kejadian, tiada orang
dewasa di rumah itu kerana bapanya, Robin Gantilan, 37, bekerja di
sebuah ladang manakala ibu, Norbayah Salbi, 35, bekerja di sebuah kantin
sekolah berhampiran.
Menceritakan detik yang tidak dapat
dilupakan isterinya itu, Robin berkata, Norbayah pulang dari kantin
untuk menjenguk anak di rumah, kira-kira jam 11 pagi.
“Ketika
kejadian saya bekerja di ladang manakala isteri terpaksa meninggalkan
anak kerana bekerja di kantin sekolah tidak jauh dari rumah,” katanya.
Menurutnya,
sebaik sampai dia mendapati anak bongsu daripada empat beradik itu
tiada, manakala anak sulungnya berusia 12 tahun sedang nyenyak tidur di
ruang tamu.
Katanya, isterinya mula cemas dan terus mencarinya di
sekitar kawasan rumah sebelum terkejut besar apabila menjumpai bayi itu
tersembam ke dalam akuarium di dapur.
Robin berkata, ketika
ditemui anaknya itu masih bernafas dan isteri dengan bantuan jiran
bergegas membawanya mendapatkan rawatan di HPSF sebelum dimasukkan ke
ICU kerana Nurul Najwa tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, katanya, Nurul Najwa disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 1 pagi ketika dirawat di ICU hospital berkenaan.
Katanya,
kejadian itu mengejutkan mereka kerana tidak menyangka akuarium
diletakkan di bawah dan menempatkan beberapa jenis ikan akan meragut
nyawa anak kesayangan mereka yang dipercayai asyik melihat ikan sebelum
jatuh tertumus.
“Allahyarham seorang periang dan manja
menyebabkan kami benar-benar terasa kehilangannya, tambahan pula
kejadian itu tidak disangka akan menimpa kami sekeluarga,” katanya.
Jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri, selepas solat Zuhur, semalam.
Bahan:
meja bulatku
Jom layan gambar akuarium