Khamis, 21 Januari 2010

Renungkan Bersama



Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita.Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan.Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah.

Apalah guna hidup senang, tetapi penuh dengan dosa dan noda, Nabi saw bersabda "Sesungguhnya yang lebih lama susahnya di dunia ialah yang lama gembiranya pada akhirat dan lebih lama kenyangnya di dunia akan lebih lama lapar di akhirat." (Riwayat Ibnu Asakir).Ini bererti mereka yang hidup sengsara, menderita kelaparan, sakit dan risau di dunia ini akan mendapat kegembiraan yang lama pada akhirat nanti, sebaliknya golongan yang kenyang dan gembira di dunia ini akan lama kelaparannya pada akhirat.

Manusia berasa sukar menerima keadaan yang biasa menimpa seperti kemiskinan, kerugian, kehilangan barang, pangkat, kematian dan perkara lain yang mengurangi kesenangannya.Apa yang dapat bertahan dalam kesukaran seperti itu hanyalah orang yang mempunyai sifat sabar dan reda. Dalam hadis Qudsi nabi menceritakan "bahawa Tuhan berkata" Akulah Allah, tidak ada Tuhan yang sebenarnya, selain Aku, maka barang siapa tidak sabar atas cubaanku, tidak bersyukur atas nikmatku dan tidak rela terhadap keputusanku, maka hendaklah dia mencari Tuhan yang lain daripada Ku." Nabi saw membuktikan cinta dan kasih sayang kepada umatnya ia sanggup menanggung segala susah payah yang menimpa dan inginkan kebaikan daripada umatnya, hingga hampir wafatnya ia masih menyebut umatku, umatku, umatku, seperti mana firman Allah bermaksud "...sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad saw) yang menjadi sangat keberatan kepada sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang beriman." (Surah at-Taubah, ayat 128).

Tidak ada siapa pun yang mahu meminta supaya dirinya dikenakan musibah, contohnya sakit, kerana tidak tahu nikmat musibah itu sebenarnya, sebaliknya mengganggap musibah itu adalah buruk.Dari Abud Dardaa' berkata "orang tidak suka kemiskinan dan aku suka, dan tidak suka mati dan aku suka, dan tidak suka penyakit, aku suka".

0 ulasan: