Isnin, 25 Januari 2010

Rakyat Labuan Tidak Restu Masjid Tertua Dirobohkan

LABUAN: Usaha kerajaan untuk meroboh sebuah masjid tertua di pulau ini mendapat bantahan daripada penduduk kampung yang mahu bangunan masjid itu terus dikekalkan atas faktor nilai sejarah yang tinggi.

Masjid Jamek Adam Kampung Lajau yang berusia lebih 40 tahun bukan saja merupakan satu-satunya masjid tertua di pulau ini, malah ia memunyai nilai sejarah yang paling berharga kerana masjid yang mempunyai lebih 500 qariah ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Putra Al Haj pada 16 Disember 1967.

“Kita tidak mahu masjid yang satu-satunya dirasmikan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia pertama di pulau ini hilang begitu saja, malah apa yang menarik dan jadi kesan sejarah ketika itu, Tuanku diarak sejauh 5…oleh penduduk kampung sebelum merasmikan masjid tersebut,” kata Ketua Kampung Lajau, Haji Sudin Omar ketika ditemui di sini kelmarin.

Menurut Haji Sudin, Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan telah memberikan kelulusan pada tahun 2008 untuk merobohkan masjid itu bagi memberi laluan kepada projek pembesaran jalan Pohon Batu yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya. Namun katanya, masjid itu hanya akan dirobohkan apabila sebuah masjid baru yang sedang dalam pelaksanaan siap sepenuhnya.

“Walaupun Masjid Jamek Adam akan digantikan dengan masjid yang baru, namun rata-rata penduduk kampung tidak bersetuju untuk merobohkan masjid tertua itu dan mahu ia terus dikekalkan di situ,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Haji Yussof Haji Mahal ketika diminta mengulas cadangan itu berkata, pihak berkuasa tempatan yang membabitkan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) perlu mengkaji semula cadangan itu.

“Kita tidak mempunyai banyak struktur dan bangunan yang bersejarah di pulau ini, oleh itu adalah wajar bangunan yang mempunyai nilai sejarah dipelihara dan dikekalkan, malah ia boleh dijadikan sebagai produk pelancongan dari sudut sejarah Islam,” katanya.

Yussof yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, sebaliknya mencadangkan supaya projek pembesaran jalan itu di lencongkan ke arah lain dan masjid itu jika tidak lagi digunakan sebagai tempat beribadat boleh dijadikan sebagai pusat sumber ilmu Islam seperti dijadikan Perpustakaan Islam atau pusat pengajian agama.

2 ulasan:

bungaraya berkata...

Setuju dik. Saya chilliriver.blogspot.com
Terima kasih untuk memuatkan blog saya dalam senarai blog adik.

Norgadis berkata...

Terima kasih >Bungaraya sudi berkunjung ke blog saya. Link saudara dah dimuatkan dlm blog saya spt yg diminta...