Rabu, 22 April 2020

HARAP TIGA KES COVID-19 SEGERA PULIH


Harap tiga kes Covid-19 segera pulih, Labuan boleh diisytihar zon hijau.

LABUAN – Zon kecil 1 dan 2 pulau ini merangkumi 70 peratus daripada jumlah kampung dan kawasan perumahan diisytihar zon hijau Covid-19.

Zon kecil 1 di pusat bandar terdiri daripada kampung-kampung air seperti Kampung Patau-Patau 1 dan 2, Kampung Gersik/Saguking, Kampung Batu Arang, Kampung Sungai Keling, Jalan OKK Abdullah, Jalan Tun Mustapha dan Kampung Rancha-Rancha menjadi zon hijau selepas enam kes aktif di sana telah pulih.

Tiga kes aktif di kawasan zon kecil 2 juga sudah pulih di mana merangkumi kawasan perumahan di Jalan Bukit Timbalai (Taman Mahkota Impian), Kampung Sungai Miri, Kampung Sungai Buton, Kampung Sungai Lada, Kampung Sungai Labu, Kampung Kilan/Pulau Akar, Kampung Layang-Layangan, Kampung Sungai Bedaun, Kampung Sungai Bangat, Kampung Belukot dan Kampung Bukit Kalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, kawasan zon kecil 3 pula kekal sebagai zon kuning kerana masih ada tiga kes aktif yang sedang dirawat.

Menurutnya, zon kecil 3 tertumpu di Kampung Bukit Kuda, Kampung Pantai, Kerupang/Nagalang, Kampung Lajau, Kampung Tanjung Aru, Kampung Batu Manikar, Kampung Ganggarak/Merinding, Kampung Lubok Temiang dan Kampung Pohon Batu.

“Kami harap ketiga-tiga pesakit dari zon kecil 3 akan sembuh dan Labuan akan diisytiharkan sebagai kawasan hijau Covid-19 bagi Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mingguan mengenai Covid-19 di sini hari ini.
Beliau berkata, Labuan merekodkan 16 kes kumulatif dengan 13 pesakit dibenarkan pulang sejak 10 April lepas.

Katanya, jumlah pesakit dalam siasatan (PUI) yang dikuarantin di Hospital Labuan setakat semalam adalah 15 orang manakala 149 individu dalam pemerhatian (PUS) menjalani kuarantin sendiri di rumah.

“Terdapat 78 PUS di pusat kuarantin Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan dan 50 orang di Pusat Giat Mara,” katanya.

Katanya, seramai 522 pekerja dalam sektor berkaitan minyak dan gas, kebanyakannya dari luar Labuan dikuarantin di hotel masing-masing.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai yang tidak bekerja dalam perkhidmatan perlu supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – WILAYAHKU

Khairul Idin April 22, 2020 12:09 am

Sumber WILAYAHKU

0 ulasan: